F TARIKAN HANA TAJIMA ~ sPRing_kaRAt

Pages

Oct 9, 2011

TARIKAN HANA TAJIMA


HANA Tajima Simpson seorang pereka fesyen muda popular masa kini bakal memeriahkan Ekspresi Remaja TV9 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 13 Oktober ini.

Fesyen tudung dan pakaiannya kini menjadi ikutan remaja bertudung terutamanya mereka yang menuntut di institut pengajian tinggi di Malaysia. Gadis ayu kacukan Britain Jepun ini akan berada di booth Safiyya dan menunjukkan cara-cara memakai tudung dan hijab bersesuaian mengikut majlis serta suasana persekitaran. Kehadiran Hana Tajima amat bersesuaian dengan matlamat TV9 mendekati remaja terutamanya pelajar universiti.


Ekspresi Remaja TV9 yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi ini dianjurkan khas buat pelajar universiti terpilih. selepas UKM, TV9 akan singgah ke Universiti Putra Malaysia (UPM) November depan. Acara sebegini memberi peluang kepada para remaja mengekspresi diri mereka secara kreatif, menjana idea yang lebih imaginatif dan inovatif serta meningkatkan keyakinan diri baik dari segi muzik, sukan, pendidikan mahupun hiburan.

Lebih menarik, pelajar dapat mengasah kemahiran berniaga menerusi jualan bazaar yang disediakan. April lalu bertempat di Management and Science University, Shah Alam (MSU), pelajar begitu kreatif menjual barangan gajet, baju, makanan ringan dan banyak lagi. Selain Hana Tajima, selebriti lain yang akan menceriakan Ekspresi Remaja kali ini adalah kumpulan Hujan, Intan Ladyana, Najwa Latif, Fizo Omar, Liyana Hisham, Irma Hasmie, Deq Wan, E-One dan Azura.

 Bermula dari jam 9.00 pagi, acara akan dimulakan dengan pertandingan futsal antara pelajar dan selebriti TV9. Bagi mereka yang mempunyai bakat terpendam dalam bidang muzik, bolehlah menggunakan kesempatan ini mengetengahkan kemahiran masing-masing dengan menyertai Battle of The Band yang berlangsung selama empat jam bermula 3 petang. Jika ingin mendengar ceramah motivasi, pihak universiti mengundang pakar motivasi berpengalaman, Nurfarini Daing dan Faisal Hasan yang akan mengupas topik Youth Defined:Shape our Future dan Second Language Program.


Sebelum melabuhkan tirai, penonton berpeluang menyaksikan persembahan Gig bersama Hujan dan Najwa di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Bayaran RM5 dikenakan jika mahu menonton konsert mini ini dan hasil kutipan berkenaan akan disalurkan semula ke tabung universiti. Ikuti maklumat terkini kembara Ekspresi Remaja TV9 yang akan bertandang ke UPM direalisasikan bersama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.


KLIK SEKALI SEHARI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...