Keputusan SPM dan STPM telah di umumkan. Ramai yang keliru dalam memastikan program dan universiti mana yang terbaik untuk diri mereka. Di peringkat ini, anda sebenarnya mencari-cari identiti diri sebagai proses membuat keputusan yang tepat dalam menentukan hala tuju kehidupan anda selepas ini.
Saya sendiri pernah melalui detik-detik ini dan sekarang saya bertugas sebagai Penolong Pendaftar Akademik di UiTM Cawangan Kelantan. Berdasarkan pengalaman dan bidang kerjaya, saya ingin kongsikan kaedah yang boleh digunakan dalam dalam memilih program Universiti yang sesuai dengan diri anda. Mungkin ia juga boleh dijadikan sebagai panduan untuk membantu orang lain yang memerlukan pandangan dan pendapat.
Kaedah pemilihan ini diberi nama A.I.M. iaitu singkatan kepada A= Ability, I=Interest dan M=Market.
1. Keupayaan. ( Ability )
Ada yang memilihan hanya berdasarkan keupayaan. Mengikut konsep A.I.M. yang selalu saya ceritakan kepada calon-calon lepasan SPM A adalah merujuk kepada Ability iaitu keupayaan. Keupayaan terbahagi kepada dua Fizikal dan Akademik.
Fizikal – adalah keupayaan fizikal dengan merujuk kepada keboleh upayaan melakukan kerja dalam bidang berkaitan program yang dipilih. Contohnya, pelajar yang takut dengan darah, tidak perlulah memilih program yang berkaitan dengan perubatan. Kerana ia akan menyebabkan kebolehan anda terbatas.
Akademik – adalah kemampuan anda berdasarkan keptusan yang telah diperolehi. Dengan lebih tepat, boleh dikatakan sebagai kelayakan akademik untuk sesuatu program. Kalau syarat kelayakan terlalu minimum untuk program tersebut tak perlu lah pilih kerana anda perlu bersaing dengan pelajar yang lebih cemerlang keputusannya. Nak tahu syarat anda lepas atau tidak semak disini: http://www.selangkah.uitm.edu.my.
2. Minat. ( Interest )
Minat memainkan peranan yang sangat penting didalam kehidupan kita. Anda perlu membezakan diantara suka dan minat. Kadang-kala kita sekadar suka tetapi tidak minat menyebabkan kerja yang dilakukan hanya separuh jalan bila berhadapan dengan masalah. Tetapi sekiranya kita minat, walaupun pelbagai dugaan dan rintangan muncul kita tetap meneruskan perjuangan.
Minat boleh mengubah seseorang dan minat juga boleh berubah-ubah. Yang penting sejauhmana kita mengawal ia situasi. Selalunya minat kita boleh dikaitkan dengan apa jua bidang yang diceburi.
3. Pasaran ( Market )
Di dalam kekeliruan membuat pemilihan, anda seharusnya memandang jauh ke depan dengan menganalisa pasaran dan peluang pekerjaan melalui bidang yang anda ingin ceburi. Ingat, menganalisa bukanlah sekadar menilik dan mencogak. Ia memerlukan kajian yang menyeluruh. Rujuk kepada yang lebih arif dan lebih berpengalaman. Jangan sekadar melihat peluang semasa tetapi apa yang akan berlaku lagi 3 tahun akan datang.
Pasaran kerja juga bergantung kepada individu tersebut. Bukan hanya bersandarkan kepada sejauhmana popularnya program tersebut. Cuba bayangkan seorang pelajar kejuruteraan yang bergraduat dengan CGPA 2.00 (Cukup-cukup makan) dan Pelajar dari aliran sastera graduat dengan CGPA 3.50 (Cemerlang). Anda fikir-fikirkan sendiri.
Kenapa ramai yang tersalah pilih? Setelah merujuk kepada ketiga-tiga faktor pemilihan diatas, ramai diantara calon-calon lepasan SPM ini hanya melihat kepada satu aspek sahaja. Ada yang sekadar meilihat keupayaan akademik sahaja. Dengan beranggapan, “aku dah score A mesti aku boleh buat” dan mengenepikan faktor minat yang menyebabkan seseorang itu berbeza dengan orang lain.
Ada juga membuat keputusan cukup sekadar minat. Apa yang mereka minat, itulah yang mereka pilih. Akhirnya, satu program pun tak layak sebab persaingan akademik terlalu sengit. Mereka terpaksa bersaing dengan yang lebih cemerlang.
Situasi sekarang, ramai yang merujuk kepada faktor peluang kerja sahaja. Sedangkan tiada langsung perasaan minat menyebabkan bila mula bekerja mereka tidak dapat fokus dengan apa yang mereka buat. Faktor ini banyak berlaku dikalangan ibu bapa sekarang yang inginkan anak mereka menjadi begini atau menjadi begitu. Akhirnya, apa yang mereka belajar tidak selari dengan apa yang mereka kerja.
Bagaimana hendak memilih? Kesemua faktor-faktor diatas perlu diselaraskan. Bermakna, keputusan dibuat dengan mengambil kira semua elemen secara sama rata.
Saya pernah menyampaikan taklimat pemilihan program ke ipt kepada sebuah sekolah di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu Kelantan. Saya ada mencadangkan beberapa tips untuk memastikan ketiga-tiga faktor diatas boleh diselaraskan.
Semuanya tips tersebut ada 7:
•Kenali Diri Sendiri
•Minat dan Kebolehan
•Buat Keputusan Berdasarkantingkat Gajidan Peluang Pendadapatan
•Yakin / Percayakan diri sendiri
•Berbincang dengan Ibubapa dan Kaunselor
•Ambil masa untuk berfikir-jangan ambil mudah
•Ambil langkah kearah pilihan kursus
Semoga artikel ini dapat membantu anda. Tetapi ingat, apa yang saya ceritakan diatas hanyalah 30% daripada proses pemilihan. Selebihnya, sebagai umat islam kita harus memohon petunjuk dan merujuk kepada Allah s.w.t. supaya pilihan yang dibuat diberkati. Banyakkan buat solat istikharah, kerana itulah yang utama dalam kehidupan kita semua.
- Artikel iluvislam.com
0 comments :
Post a Comment